Thursday, April 2, 2009

TEORI RAHMAN

Thursday, April 2, 2009

Najib pelengkap teori 'Rahman'


HARI ini tercatat satu lagi sejarah apabila Datuk Seri Najib Razak, 55, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-6, muda setahun daripada usia Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mula menyandang jawatan itu pada 1981.

Tetapi ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein lebih muda ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 1970 ketika berusia 52 tahun, manakala Tun Hussein Onn berumur 54 tahun ketika mengangkat sumpah jawatan sama pada 1976.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berumur 54 tahun apabila dilantik ke jawatan itu sebaik negara merdeka pada 1957.


Ini bermakna semua Perdana Menteri berusia 56 tahun ke bawah, kecuali Perdana Menteri ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang berusia 63 tahun ketika mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara pada 31 Oktober 2003, sebulan sebelum menyambut hari lahir ke-64.


Dengan itu juga, lengkaplah teori 'Rahman' � bermula dengan huruf 'R bermaksud Tunku Abdul Rahman, diikuti Abdul Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan diakhiri huruf 'N' untuk Najib.

Selepas Rahman apa pula? Bagaimana pula jika kita ciptakan perkataan 'Mahathir' untuk kepemimpinan seterusnya? Apakah huruf 'M' nanti akan bermaksud Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 62, yang bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri apabila Najib mengumumkan rombakan Kabinetnya tidak lama lagi.

Selepas 'M' ialah 'A' yang boleh dikaitkan dengan nama Naib Presiden Umno paling kanan sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 56, manakala huruf 'H' selepas itu, boleh dipadankan dengan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 47.

Selepas 'H', adalah huruf 'A', 'T', 'H', 'I' dan 'R'. Sudah tentu penyokong kuat Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan teori 'Mahathir' ini kerana tiada huruf 'K' di situ. Namun, ia cuma suatu teori yang tidak semestinya boleh dipercayai atau menjadi kenyataan.

Kita tidak tahu sebenarnya siapa pencipta teori 'Rahman' itu, tetapi pada suatu ketika apabila Tun Musa Hitam dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri selepas Dr Mahathir, teori itu sudah nampak tempang atau mula kelihatan tidak menjadi.

Selama lima tahun, orang tidak bercakap mengenai teori itu sejak Musa dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1981 sehinggalah meletak jawatan pada 1986 ketika berusia 52 tahun. Tempatnya kemudian digantikan oleh Tun Abdul Ghafar Baba (1986-Oktober 1993), barulah teori itu muncul semula tetapi ramai juga ketika itu tidak yakin Ghafar akan naik menjadi Perdana Menteri kerana beliau dilihat lebih kepada tempoh peralihan sementara menunggu calon sesuai.

Bagaimanapun, teori itu kelihatan mula menjadi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menggantikan Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Oktober 1993. Sepanjang lima tahun itu, Anwar seakan-akan bakal pengganti Dr Mahathir sehinggalah musibah menimpanya pada 1998.

Rupa-rupanya, huruf 'A' selepas 'M' dalam teori 'Rahman' itu ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, orang yang paling gembira hari ini ialah Tun Rahah Mohd Noah, ibu Najib � keluarga yang melahirkan dua Perdana Menteri. Tun Rahah yang kini berusia 75 tahun mungkin tidak pernah terfikir Najib akan menjadi menteri apatah lagi Perdana Menteri seperti ayahandanya. Bagaimanapun, alhamdulillah Najib mengikut jejak ayahandanya apabila mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya politik.

Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa menasihatkan anak supaya rajin belajar dan mendapat keputusan bagus dalam pelajaran, selain mesti bekerja kuat seperti beliau kerana Allahyarham memang seorang yang kuat bekerja.

Keperibadian Tun Abdul Razak yang ada pada Najib ialah kedua-duanya kuat bekerja dan dedikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dalam hati Allahyarham memang kuat bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat dan itu yang dilakukan Najib sekarang.

0 comments:

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates